? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click "Save Template" CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS ?
Showing posts with label Agama. Show all posts
Showing posts with label Agama. Show all posts

Wednesday, February 11, 2009

Serban & Kemenangan

Berikut merupakan petikan tulisan drpd khairaummah.com yg diemailkan ke tokcanang@yahoo.com. Penulisnya adalah Abu Wafi.
"Dalam sebuah khutbah seorang khatib sempat memberikan pandangan peribadi mengenai kekalahan Hamas di Palestin. Pandangannya ini jelas menunjukkan cara berfikirnya yang aneh. Ia mengatakan bahawa punca kekalahan Hamas melawan Israel adalah kerana Hamas tidak memakai serban. Dari pemerhatiannya ia mendapati bahawa Hizbullah menang melawan Israel kerana Hizbullah memakai serban. Jelas sekali ia adalah pandangan yang tidak rasional. Sukar rasanya untuk dipercaya pandangan tidak rasional ini keluar dari mulut seorang yang berpendidikan sepertinya. Walaupun pengetahuan tentang agamanya cukup bagus, begitu juga ilmu akademiknya, namun ternyata hal tersebut tidak dapat menghalangnya dari berfikiran seperti itu. Jadi di manakah silapnya, sehingga muncul cara berfikir sedemikian? Apakah ia mencerminkan cara majoriti umat Islam berfikir, tidak rasional dan tidak berpijak di bumi nyata?
Rasa-rasanya tidak ada hadis yang mengaitkan kemenangan dengan serban. Apalagi ayat. Jika dia berfikiran literalis sekalipun sekurang-kurangnya mesti berdasarkan ayat atau hadis. Tetapi ternyata tidak ada langsung dalil yang boleh menjustifikasikan cara berfikir seperti ini. Yang ada hanyalah adanya hubungan antara amalan kita dengan pertolongan Allah. Jika kita berbuat maksiat maka akan jauhlah kita dari pertolongan Allah. Jika kuat hubungan kita dengan Allah maka semakin dekatlah pertolongan Allah. Ini bermakna bukan luaran yang dikira tetapi dalaman.
Ternyata ramai di antara kita yang masih terperangkap dengan luaran (form) dan bukan isi (substance). Bagi sesetengah orang penampilan adalah segala-galanya sedangkan hakikat keperibadian tidak penting. Keislaman dan keimanan seseorang diukur dengan bagaimana dia berpakaian, apakah dia berserban, berjubah, berjanggut panjang dsb. Bukan apakah dia cukup ilmunya, mulia budi pekertinya, baik hatinya, tinggi wawasannya, luas pengetahuannya.
Sebenarnya yang menjadikan umat Islam seperti buih di lautan, tidak berarti apa-apa dan mudah dipukul ombak, adalah kerana umat Islam dari segi jumlahnya banyak, dari segi luaran semuanya Islam, tetapi pada hakikatnya mereka tidak memahami dan mengamalkan Islam dengan baik sehingga Islam mereka tidak dapat merubah mereka menjadi umat yang berkualiti dan menggoncangkan dunia. Ini berlaku kerana kefahaman Islam mereka hanya di kulit, tidak sampai kepada isi, lubb, Islam. Pemahaman Islam yang cetek seperti ini perlu dihapuskan. Kerana Islam tidak akan benar-benar indah, manis terasa dan sanubari yang menganutnya dan menjadi cahaya yang menerangi alam ini jika diambil hanya luarannya sahaja.
Allah telah mengingatkan bahawa “sesungguhnya yang paling bertaqwa di kalangan hambanya adalah para ulama’” ilmu jugalah yang menjadi kayu ukur ketaqwaan seseorang, bukan penampilan, bukan juga jumlah atau kuantiti ibadah hariannya (ritual).
Apakah ini bermakna form dan luaran itu tidak penting. Bukan itu yang dimaksudkan di sini. Memang Islam menitikberatkan kedua-duanya. Menutup aurat adalah syarat sah solat. Tanpa menutup aurat solat seseorang tidak diterima. Tetapi dengan menutup aurat sahaja tidak bermakna apa-apa jika solatnya tidak berkualiti. Kerana solat sepatutnya mampu menahan diri seseorang daripada perbuatan keji dan munkar. Apa yang menyedihkan adalah apabila luaran tidak disertai dengan dalaman yang kuat. Malah terdapat kecenderungan hari ini umat Islam mementingkan luaran daripada dalaman. Padahal Islam agama yang paling banyak menekankan kualiti dan bukan kuantiti. Penegasan tentang kualiti dapat dilihat dalam hadis Rasulullah yang bermaksud: “satu hari pemerintahan yang adil lebih baik dari 60 hari ibadah”. Juga perhatikan hadis Rasulullah yang bermaksud: “kelebihan orang alim berbanding orang abid (yang kuat ibadah), adalah seperti kelebihan ku (baginda) berbanding orang biasa di kalangan kamu”. Kita juga sering diingatkan bahawa: “Allah tidak melihat kepada rupa dan warna kulit kamu tetapi melihat kepada hati dan amalan kamu”.
Sering juga diperkatakan oleh golongan tertentu bahawa syarat untuk umat Islam menang adalah apabila jumlah orang yang solat subuh berjamaah sama dengan jumlah orang yang solat jumaat. Hujah seperti ini sering disebarkan oleh golongan tertentu, untuk membuktikan bahawa usaha mereka dalam menekankan ibadah harian (ritual) adalah benar. Hujah di atas pada awalnya kelihatan masuk akal. Umat Islam kalah kerana umat Islam mengabaikan ibadah yang dituntut oleh Islam. Tetapi setelah difikirkan dan diteliti kembali sebenarnya ia adalah hujah yang cukup rapuh. Pertama berbeza dengan solat jumaat, solat subuh tidak diwajibkan untuk dilakukan berjamaah. Terdapat ayat yang jelas menyuruh umat Islam meninggalkan apa sahaja yang mereka lakukan untuk menunaikan solat jumaat. Solat subuh seperti solat fardu yang lain, boleh dilakukan sendirian. Ini adalah satu keringanan yang Islam berikan kepada umat Islam. Jadi menekankan solat subuh berjamaah adalah memberatkan dan membebankan umat Islam dengan sesuatu yang tidak dibebankan oleh Islam.
Kedua, perlu difahami bahawa kuantiti tidak pernah menjadi ukuran dalam keislaman seseorang atau masyarakat. Mengapakah solat subuh mesti dibandingkan dengan solat jumaat, yang jelas amat berbeza dan tidak mungkin dilakukan oleh masyarakat dengan sama dari segi kuantiti? Justeru menunggu hingga persamaan ini wujud adalah sesuatu yang hampir mustahil. Ini bermakna tidak ada harapan umat Islam akan menang kerana harapan untuk berlakunya hal tersebut amat tipis.
Sebaliknya kita menjelaskan, dan sepatutnya demikian dijelaskan, bahawa jalan ke arah kemenangan umat Islam tidaklah mustahil atau tipis. Jalan ke arah kemenangan terbuka luas jika kita melakukan sesuatu yang benar-benar (substansial) menyumbang ke arah itu. Malangnya banyak isyarat menunjukkan bahawa ramai umat Islam tidak melakukan langkah-langkah yang maju ke hadapan, tetapi malah mundur ke belakang. Dan cara berfikir di atas adalah salah satu di antaranya. Mudah-mudahan dengan ingatan ini semakin ramai umat Islam yang berfikiran cerdas dan tidak berfikiran dangkal seperti itu demi kebaikan dan masa depan umat Islam"

Saturday, February 7, 2009

Hikmah Bersujud..

Sedikit info daripada rusukkiri tokcanang untuk dikongsi bersama. Tanpa kita sedari kadang kala, setiap perlakuan kita seharian termasuklah solat mempunyai hikmah yang tersendiri yang telah dicaturkan oleh Ilahi...

Sesungguhnya amalan pertama yang akan dihitung di akhirat kelak adalah solat. ALLAH S.W.T telah memfardhukan hambaNya untuk mengerjakan solat yang telah diterima oleh Rasulullah S.A.W di malam Isra’ dan Mikraj.
Sudah banyak diperkatakan tentang kelebihan solat terutamanya dari sudut kesihatan. Salah satu penemuan yang menakjubkan adalah pada ketika melakukan sujud.Keajaiban yang ditemui mendapati bahawa darah tidak akan memasuki urat saraf di dalam otak melainkan pada ketika seseorang itu bersujud!

Antara hikmah lain bersujud adalah :
Kedudukan sujud adalah paling baik untuk berehat dan mengimbangkan lingkungan bahagian belakang badan.

Mengurangkan sakit senggugut ketika haid

Melegakan sakit hernia

Pergerakan otot bahu, dada, leher, perut serta punggung menjadikan otot – otot pada bahagian ini menjadi lebih kuat dan elastik seterusnya memastikan perjalanan darah yang lancar.

Pergerakan bahagian otot tertentu memudahkan wanita bersalin , organ peranakan mudah kembali kepada asal dan terhindar daripada convulsions ( sakit gelombang perut )

Organ terpenting iaitu otak manusia menerima banyak bekalan darah dan oksigen.
Yang utama, sujud menjadikan kita merasa rendah diri dihadapan yang Maha Agung sekaligus menghindari sifat sombong, riak, takbur dan segala sifat mazmuumah!

Wednesday, January 7, 2009

Seminar Baldatun Toyyibah : Model Andalusia

ANJURAN : PERSATUAN ULAMA' MALAYSIA CAWANGAN SELANGOR DENGAN
KERJASAMA MASJID NEGERI SHAH ALAM
TARIKH : 24/1/2009 (Sabtu)
MASA : 8.00 PAGI HINGGA 1.00 PETANG
TEMPAT : DEWAN BESAR MASJID NEGERI SHAH ALAM
BAYARAN : RM 10
Tempat adalah terhad. Untuk tempahan sila hubungi sekretariat: -
Pejabat PUM: 03-79554300
Ust Firdaus Subhi: 0126137541
En Khairunnizam: 012-2911335
En Azmi: 01903842920

KERTAS KERJA
1) Kertas kerja 1: Selangor Maju : Kenapa Andalusia ?
Ust Zamri bin Shapik Pengerusi Persatuan Ulama' Malaysia Cawangan Selangor
2) Kertas Kerja 2 : Sejarah Perkembangan dan Kejatuhan Kerajaan Islam di Andalusia :

Teladan dan Sempadan untuk Selangor Maju menurut Perspektif Islam.
Dr Mohd Roslan bin Mohd Nor Pensyarah APIUM
3) Kertas Kerja 3: Perkembangan Fiqh dan Usul di Andalusia dalam Kerangka Pembinaan Negara Maju
Dr Hasnan bin KasanPensyarah UKM
4) Kertas Kerja 4: Elemen Ketamadunan Andalusia : Faktor Kejayaan Dalam Pembinaan Negara Maju
Dr.Khalif Muammar bin Abd.Haris Akademi Kajian Ketamadunan
5) Kertas Kerja 5: Hak, Peranan dan Kewarganegaraan Bukan Islam di Bawah Kerajaan Islam Andalus ;

Satu Sorotan Persamaan dan Perbezaan Dengan Selangor Maju
Dr.Ahmad Zaki bin IbrahimPensyarah tamadun Islam, UM


Bersama - sama kita mengidupkan budaya ilmu - Tok Canang

Friday, June 13, 2008

Agama Bukan Mengkhayalkan Orang Miskin

Lagi satu artikel yang saya terima melalui email yang dikatakan ditulis oleh Mufti Perlis, iaitu Dr. Mohd Asri Zainul Abidin. Biar apapun, ada sesuatu yang dapat kita sama-sama fikirkan dan ambil iktibar daripadanya. Selamat membaca buat semua pengunjung Gerbang Tok Canang!

Saya tertarik apabila membaca kisah al-Imam al-Nawawi (631-676H) yang diminta oleh Raja pada zamannya al-Malik al-Zahir untuk memberikan fatwa bagi mengharuskan Raja mengambil harta rakyat untuk digunakan memerangi musuh yang mengancam negara iaitu tentera Tatar. Tujuan itu pada zahirnya baik kerana mempertahankan negara dari ancaman musuh. Harta itu pun hendak digunakan untuk keperluan jihad.
Namun ramai ulama yang telah dibunuh ketika itu kerana enggan mengeluarkan fatwa berkenaan. Al-Nawawi juga enggan menulis surat sokongan terhadap tindakan Raja Zahir itu sekalipun beliau tahu pengambilan harta itu untuk kepentingan negara juga. Apabila Raja bertanya kepada beliau mengapa beliau enggan menyokong?
Beliau menjawab: Setahu saya engkau dahulunya seorang hamba, tidak mempunyai harta. Kemudian Allah memberikan kurniaan kepadamu lalu diangkat engkau menjadi seorang raja. Aku dengar engkau memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki tali pinggang daripada emas. Engkau juga ada memiliki dua ratus hamba perempuan, dan setiap mereka memiliki sebekas perhiasan. Jika engkau belanjakan itu semua, sehingga hamba-hamba lelakimu hanya memakai tali pinggang kain, dan hamba-hamha perempuanmu hanya memakai baju tanpa perhiasan, juga baitulmal sudah tiada simpanan wang, harta dan tanah lagi, maka aku akan fatwakan untukmu keharusan mengambil harta rakyat itu. Sesungguhnya yang menolong jihad dan selainnya ialah penyerahan diri kepada Allah dan mengikut jalan nabi-Nya S.A.W (lihat: ‘Abd al-Ghani al-Daqar, al- Imam al-Nawawi, 144-145, Damsyik: Dar al-Qalam).
Saya suka dengan jawapan al-Imam al-Nawawi ini. Saya tahu, selepas ini banyak forum-forum perdana, ceramah-ceramah di radio dan televesyen akan memperkatakan tentang kewajipan berjimat cermat. Maka ustaz, ustazah dan penceramah pun atas permintaan penaja yang membayar harga ceramah akan bersungguh-sungguh menyuruh orang-orang bawahan untuk berjimat cermat. Dalil-dalil pun akan dibaca. Mungkin akan ada ustazah yang mencari cerita-cerita ajaib yang baru untuk dikaitkan dengan bab jimat cermat dan jangan membazir. Mungkin akan ada penceramah yang cuba menangis seperti seorang pelakon berjaya yang menerima anugerah, bercerita kepada makcik-makcik yang khusyuk menonton tentang azab seorang yang membazir ‘nasi lemaknya’. Datanglah orang-orang kampung mendengar forum perdana dengan basikal atau motosikal sebagai menyahut seruan agar tidak membazir petrol. Adapun penceramah, datuk-datuk penganjur, YB-YB hanya menggunakan kenderaan mewah yang berkapasiti atas daripada 2000cc.
Tujuannya untuk mengelakkan pembaziran wang kerajaan yang terpaksa dibayar kepada empunya kenderaan 2000cc ke bawah, lebih tinggi daripada 2000 ke atas. Maka insaflah makcik dan pakcik yang barangkali teringatkan tulang ikan yang pernah dibuangnya padahal masih ada sedikit sisa isinya yang melekat. Itulah membazir namanya. Maka, atas keinsafan dan taubat itu, mungkin ada yang akan mula mengurangkan makan nasi lemak daripada sebungkus seorang kepada sebungkus yang dikongsi bersama. Air kopinya yang memang sudah ‘ceroi’ akan ditukar kepada yang warna hitamnya antara kelihatan dan tidak. Maka selamat negara kita ini, disebabkan pakcik dan makcik, pak long dan mak long, pak lang dan mak lang di kampung sudah mengubah gaya hidup mereka. Jika saya hadir ke forum yang seperti itu, saya ingin bertanya soalan, tapi soalan yang belum ‘dijakimkan’, “Apakah agama ini dihantar oleh Allah untuk menghukum manusia bawahan dan menghalalkan yang lain tidur dalam kekenyangan dan kemewahan?” Sebelum harga minyak naik, telah sekian lama mereka yang berada di teratak usang itu menjimat makan dan pakai. Saban hari mereka mengira belanja untuk memboleh mereka terus hidup pada kala negara dunia belum menghadapi krisis harga minyak.
Pembaziran
Saya tidak mahu membicarakan tentang kenaikan harga minyak dari sudut perjalanan ekonomi antarabangsa. Telah banyak pakar-pakarnya bicarakan. Tapi saya ingin bincangkan tentang soal pembaziran dan jimat-cermat. Ya, memang Islam memusuhi pembaziran. Bahkan al-Quran tidak pernah mempersaudarakan antara mana-mana pembuat dosa dengan syaitan, melainkan mereka yang membazirkan. Allah menyebut dalam al-Quran: (maksudnya): “Dan berikanlah kepada kaum keluargamu, dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Isra: 26-27). Demikianlah Allah persaudarakan pembazir dengan syaitan. Kesan pembaziran sangat besar.
Lihat negara kita yang kaya dengan berbagai hasil. Sepatutnya kita akan tetap kukuh dan setiap rakyat akan menikmati kekayaan ini dengan adilnya. Namun, disebabkan pembaziran, harta negara yang sepatutnya dapat dimakan puluhan tahun, tetapi surut mendadak dalam masa beberapa tahun.
Maka, yang patut mendapat bantuan dan hak, tidak cukup untuk sampai kepadanya. Barang keperluan pula bertukar menjadi mahal. Pembaziran memusnahkan kehidupan rakyat bawahan dan menghalang hak yang sepatutnya sampai kepada mereka. Maka betapa wajar untuk para pembazir itu dipersaudarakan dengan syaitan. Apatah lagi dalam banyak keadaan, pembaziran itu lahir dari keangkuhan dan kesombongan. Sifat-sifat itulah jua yang menjadi asas kepada kekufuran syaitan.
Soalannya, mengapakah apabila kita membicarakan tentang pembaziran, kita hanya terbayang orang-orang bawahan di kampung ataupun bandar. Jika kita ingin meminta supaya setiap warga negara ini berjimat dan jangan membazir, maka bermulalah daripada atas. Bukan sekadar untuk mengenakan si miskin yang sekian lama telah berjimat dan sudah tidak tahu apa yang hendak dijimatkan lagi. Mengapa kita hanya terbayang rakyat yang berada dalam rumah persendirian dan berbelanja dengan wang poketnya yang sudah lelah? Kita sepatutnya terlebih meneliti semula bagaimana perbelanjaan yang menggunakan harta negara dan rakyat yang sedang berjalan di istana-istana, kediaman-kediaman rasmi kerajaan di peringkat negara dan negeri? Apakah wajar di kala ini keraian untuk orang-orang besar sama ada sultan atau menteri begitu mewah? Makanan yang dihidangkan untuk mereka, harga satu meja kadang-kala boleh dimakan oleh ratusan rakyat bawahan. Karpet yang dipijak oleh mereka harganya ribuan bungkusan nasi yang dimakan oleh ‘orang biasa’. Apakah patut pada saat yang sebegini, ada istana atau kediaman rasmi menteri yang hendak ditambahmewahkan? Apakah patut orang-orang besar ini diraikan dengan hiburan atau pertunjukan dan konsert yang menelan puluhan ribu ringgit sempena sesuatu kunjungan mereka? Wang itu, wang negara.
Wang itu, wang rakyat. Apakah dalam masa yang sebegini mereka masih mendapat peruntukan untuk bersantai, bermain golf dan ‘berhiburan’ dengan menggunakan wang rakyat bawahan yang disuruh menjimatkan nasi lemak dan air kopi mereka? Pembaziran sebegini lebih rapat menjadi saudara syaitan dibanding wang persendirian yang dibelanjakan. Meminjam falsafah al-Imam al-Nawawi yang saya sebutkan tadi, jika orang atasan telah benar-benar berjimat, maka wajarlah untuk dikurangkan subsidi rakyat. Al-Nawawi telah dibuang negeri kerana enggan bersekongkol dengan perkara yang seperti ini. Namun, jika itu tidak dilakukan, ulama bukan burung kakak tua. Saya mengambil risiko menulis hal ini. Tanggungjawab di hadapan Allah lebih besar daripada segala- galanya. Para ulama dahulu jauh lebih mulia, tidak dibandingkan kedaifan saya ini. Pun mereka telah menunaikan tanggungjawab al-Amr bil Ma‘ruf dan al-An- Nahy ‘an al-Munkar ini. Semoga Allah menimbang tinta para ulama dengan darah para syuhada.
Telah berlaku tahun kesusahan dan kelaparan yang amat sangat di Semenanjung Arab pada zaman Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab. Dikenali dengan ‘Am al- Ramadah kerana seakan bagaikan warna ramad atau abu disebabkan kekurangan hujan, warna tanah dan warna kulit manusia yang bertukar disebabkan kekeringan. Ini berlaku pada antara tahun 17H dan 18H selama sembilan bulan. Amirul Mukminin telah berhempas pulas menguruskan harta negara ketika itu bagi mengatasi kesusahan rakyat. Di samping kecemerlangan pengurusan, yang ingin disebutkan di sini kecemerlangan pendirian dan sikap. Ibn Jarir al-Tabari meriwayatkan bahawa ‘Umar bin al-Khattab tidak memakan pada tahun berkenaan lemak haiwan, susu dan daging sehingga orang ramai dapat memakannya. Barangan makanan berkurangan di pasar. Pada suatu hari pekerjanya dapat membeli untuknya lemak dan susu namun dengan harga yang agak tinggi. ‘Umar enggan makan bahkan berkata: “Engkau telah menyebabkan lemak dan susu menjadi mahal, sedekahkan kedua-duanya, aku bencikan pembaziran. Bagaimana aku dapat memahami keadaan rakyat jika tidak mengenaiku apa yang mengenai mereka?” (Al-Tabari, 2/358, Beirut: Dar al-Fikr). Juga diriwayatkan bahawa suatu hari pada tahun berkenaan disembelih unta lalu dimasak dan dibahagikan kepada orang ramai. Lalu dicedok masakan itu untuk dihidangkan juga buat ‘Umar. Tiba-tiba yang dicedok itu bahagian belakang unta dan hatinya. Lalu ‘Umar bertanya: “Dari mana diperoleh ini?”. Daripada unta yang kita sembelih hari ini. Kata ‘Umar: “Oh! Alangkah buruknya aku ini sebagai pemimpin, jika aku memakan bahagiannya yang baik lalu aku berikan rakyat makan yang sisa” (Ibn Sa‘d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/312, Beirut: Dar Sadir).
Maka alangkah buruknya seorang presiden, atau sultan, atau raja, atau perdana menteri, atau menteri besar, atau menteri yang makan dengan mewah daripada peruntukan harta negara atau negeri sedangkan rakyatnya dalam kesusahan. Ketika rakyat membilang butiran beras, helaian ringgit untuk persekolahan anak, keperitan membayar sewa rumah, api dan air, sementara mereka yang berkuasa ini pula menghadiri jamuan negara dan negeri itu dan ini. Bermewahan dengan pertunjukan dan hiburan dari peruntukan wang negara. Kemudian bercuti rehat, tanpa rakyat ketahui apakah kepenatannya untuk rakyat. Kos cuti itu pula ditanggung oleh negara tanpa sebarang pulangan keuntungan buat rakyat.
Alangkah zalim! Alangkah keji sikap yang sedemikian rupa. Saya kadang- kala begitu hairan apabila seseorang dianggap ‘berjiwa rakyat’, hanya kerana makan nasi yang dijamu oleh rakyat, atau masuk ke kampung mendukung anak rakyat untuk beberapa minit bagi membolehkan wartawan mengambil foto. Apakah itu dinamakan berjiwa rakyat? Jika hendak diiktiraf sebagai berjiwa rakyat, rasailah apa yang rakyat rasai. Orang seperti ‘Umar bin al-Khattab lebih mulia daripada segala keturunan atau pangkat yang ada di kalangan manusia. Kemuliaannya telah diiktiraf oleh Allah dan Rasul-Nya. Dia ahli syurga dengan jaminan Allah dan Rasu-lNya sementara politiknya tidak ada saingan yang menggugatnya. Namun tetap amanah dan jujurnya terhadap rakyatnya. Merasai penderitaan rakyat. Beliau idola kepimpinan kita sepatutnya. Walaupun beliau tidak pernah menyuruh orang menyembah atau menjulangnya, namun beliau dipuja oleh sejarah dan diangkat oleh Allah.
Tanggungjawab
Kenaikan harga minyak menaikkan harga barang. Orang berpendapatan rendah menjadi mangsa. Agama berperanan untuk menyedarkan semua pihak tentang tanggungjawab terhadap rakyat. Dalam keadaan begini, antara perkara pertama yang patut dibentang kepada rakyat adalah pengurusan kemasukan dan pengagihan zakat. Zakat yang mungkin sampai kepada peringkat bilion ringgit di seluruh negara mesti diagihkan secara telus dan bijaksana. Mengapa masih ada fakir miskin yang bagaikan meminta sedekah kepada pihak yang menguruskan zakat? Mengapa program televisyen lebih menjumpai si miskin dibanding pihak yang menguruskan zakat? Mengapa zakat masih berbaki dengan begitu banyak setiap tahun sedangkan kemiskinan masih banyak? Mengapa pihak yang menguruskan zakat kelihatan bertambah mewah, sementara yang patut menerima hak kelihatannya bertambah letih dengan keadaan sekarang? Pada masa inilah peranan zakat bagi memastikan setiap yang memerlukan memperolehinya tanpa kerenah birokrasi yang bukan-bukan. Jangan sampai untuk mendapat RM150 si miskin berulang alik berkali-kali dengan tambang sendiri, sementara yang mendakwa amil zakat mengisi minyak kereta dengan wang zakat atas nama amil! Ramai kata kita berjaya menguruskan zakat sebab kutipan yang tinggi. Saya katakan, pengurusan yang berjaya itu bukan sahaja kutipan semata, tetapi juga pengagihan secara telus, bijaksana dan bertanggungjawab.
Dalam usaha kerajaan menangani kemelut ekonomi hari ini, perkara-perkara yang disebutkan ini mestilah dipandang serius. Kejayaan sesebuah kerajaan menghayati penderitaan rakyat akan menjadikan mereka lebih disayangi dan disokong. Jika orang atas mengubah cara hidup, kita akan berkempen untuk semua agar mengubah cara hidup. Jika orang agama disuruh berkempen orang bawahan agar mengubah cara hidup, sementara melupai yang di atas, mereka sebenarnya cuba menjadikan agama sebagai candu agar seseorang melupai masalah yang sebenar.Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin

Friday, May 30, 2008

Antara 9 Mimpi Rasulullah S.A.W

Antara 9 Mimpi Nabi Muhammad SAW "Sesungguhnya aku telah mengalami mimpi-m impi yang menakjubkan pada malam aku sebelum di Israqkan.... ...."
1. Aku telah melihat seorang dari umatku telah di datang oleh malaikatul maut dengan keadaan yg amat mengerunkan untuk mengambil nyawanya, maka malaikat itu terhalang perbuatannya itu disebabkan oleh KETAATAN DAN KEPATUHANNYA KEPADA KEDUA IBUBAPANYA.
2 . Aku melihat seorang dari umatku telah disediakan azab kubur yang amat menyiksakan, diselamatkan oleh berkat WUDUKNYA YANG SEMPURNA.
3. Aku melihat seorang dari umatku sedang dikerumuni oleh syaitan-syaitan dan iblis-iblis lakhnatullah, maka ia diselamatkan dengan berkat ZIKIRNYA YANG TULUS IKHLAS kepada Allah.
4. Aku melihat bagaimana umatku diseret dengan rantai yang diperbuat daripad a api neraka jahanam yang dimasukkan dari mulut dan dikeluarkanrantai tersebut ke duburnya oleh malaikut Ahzab,tetapi SOLATNYA YANG KHUSUK DAN TIDAK MENUNJUK-NUNJUK telah melepaskannya dari seksaan itu.
5. Aku melihat umatku ditimpa dahaga yang amat berat, setiap kali dia mendatangi satu telaga di halang dari meminumnya,k etika itu datanglah pahala PUASANYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH SWT memberi minum hingga ia merasa puas.
6. Aku melihat umatku cuba untuk mendekati kumpulan para nabi yang sedang duduk berkumpulan- kumpulan , setiap kali dia datang dia akan diusir, maka menjelmalah MANDI JUNUB DENGAN RUKUN YANG SEMPURNANYA sambi l ke kumpulanku seraya duduk disebelahku.
7. Aku melihat seorang dari umatkuberada di dalam keadan gelap gelita di sekelilingnya, sedangkan dia sendiri di dalam keadaan binggung, maka datanglah pahala HAJI DAN UMRAHNYA YANG IKHLAS KEPADA ALLAH SWT lalu mengeluarkan nya dari kegelapan kepada tempat yang terang - benderang.
8. Aku mel ihat umatku cuba berbicara dengan golongan orang mukmin tetapi mereka tidakpun membalas bicarany a,maka menjelmalah SIFAT SILATURRAHI MNYA DAN TIDAK SUKA BERMUSUH-MUS UHAN SESAMA UMATKU lalu menyeru kepada mereka agar menyambut bicaran ya,lalu berbicara mereka dengannya.
9. Aku melihat umatku sedang menepis-nepis percikan api ke mukanya,maka sege ralah menjelma pahala SEDEKAHNYA YANG IKHLAS KERANA ALLAH SWT lalu menabir muka dan kepalanya dari bahaya api tersebut.
BERSABDA RASULULLAH SAW: "SAMPAIKANLAHPESANANKU KEPADA UMATKU YANG LAINWALAUPUN DENGAN SEPOTONG AYAT"