? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click "Save Template" CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS ?

Sunday, December 14, 2008

Mengemis adalah jalan terakhir ....

Pada satu petang hujung minggu yang lalu, ketika menyusuri laluan Jalan Masjid India untuk ke sebuah kedai buku di Wisma Yakin, saya terpandang satu pasangan yang cacat pengelihatan sedang meraih simpati orang ramai yang lalu lalang di situ dengan berbekalkan beberapa alatan muzik yang ringkas. Namun, tidak ramai yang menghulurkan simpati mereka… setakat memandang saja.
Cukup tersentuh hati dan perasaan saya… tambahan cuaca dalam keadaan hujan renyai – renyai. Ianya membuatkan saya terfikir sejenak… tidak adakah pihak – pihak yang berwajib sudi menghulurkan bantuan? Atau setidak – tidaknya mencari ruang yang bersesuaian untuk mereka berdua mencari rezeki yang halal bagi menampung perbelanjaan diri dan keluarga?
Terimbas saya kepada satu kisah seorang pemuda ansar yang mendatangi baginda Rasulullah S.A.W untuk memohon bantuan zakat akibat himpitan kemiskinannya. Dalam pertemuan tersebut, Rasullah S.A.W bertanya kepada pemuda itu tentang barang – barang yang masih dimilikinya di rumah. Dengan penuh rasa rendah diri, dia memberitahu Rasulullah S.A.W bahawa masih ada dua barang yang dimilikinya , iaitu bekas kain pelana dan bekas minuman.
Rasulullah S.A.W meminta pemuda ansar itu untuk pulang ke rumah dan membawa kesemua barang yang dimilikinya untuk dijual kepada sesiapa yang ingin membelinya. Hasilnya, terkumpullah 2 dirham. Seterusnya, baginda menyuruhnya untuk membelanjakan 1 dirham bagi membeli makanan dan baki 1 dirham lagi hendaklah digunakan untuk membeli sebilah kapak. Pemuda itu mengikut saja apa yang disuruh oleh Rasulullah S.A.W
Sejurus selepas itu, pemuda tersebut datang berjumpa Rasullah S.A.W semula dengan membawa sebilah kapak yang baru sahaja dibelinya. Kemudian, Rasulullah S.A.W menyuruhnya menggunakan kapak tersebut untuk mencari kayu api dan menjualnya di pasar. Baginda memberikan tempoh selama 15 hari kepadanya untuk berbuat demikian.
Tatkala genap tempoh 15 hari, datanglah pemuda ansar tersebut berjumpa Rasulullah S.A.W dengan membawa bersama 10 dirham. Maka, dengan sejumlah wang 10 dirham itu dapatlah dia gunakan sebahagiannya untuk membeli makanan dan pakaian, manakala sebahagian lagi dijadikan modal seterusnya.
Bersangkut dengan hal ini, Rasulullah S.A.W bersabda dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ar-Timirzi dan Ibn Majah yang bermaksud :
“Perbuatan ini lebih baik daripada kamu hidup dengan mengemis dan meminta – minta, yang mana mukamu akan menjadi cacat pada hari kiamat. Ianya dibolehkan dalam tiga keadaan; himpitan kemiskinan yang terlampau, bebanan hutang yang cukup berat dan bayaran denda yang cukup memeritkan”
Walaubagaimanapun prasyarat di atas masih tertakluk kepada faktor umur dan tahap kesihatan seseorang. Adalah tidak adil untuk seseorang mengemis dan meminta – minta sekiranya dia masih muda dan berupaya melakukan sebarang kerja. Keadaan ini banyak berlaku di sekeliling kita…sehinggakan ada seorang pengemis jalanan yang saya kenali berasal dari Kelantan mampu mengutip sekitar RM 100 sehari! Cukup lumayan…Pada pengamatan saya, dia sebenarnya masih berupaya untuk bekerja memandangkan hanya sebelah kakinya saja kelihatan tidak sempurna akibat kecacatan sejak kelahiran lagi.
Justeru, saya beranggapan pihak kerajaan, badan – badan korporat dan masyarakat seharusnya memainkan peranan yang lebih proaktif bagi mengurangkan budaya mengemis dan meminta – minta di dalam masyarakat kita pada hari ini. Namun, bukan bermakna kita ingin membentuk budaya ‘selfish’ di dalam masyarakat. Cuma… apa yang kita inginkan, mereka diberikan ruang yang sewajarnya untuk mereka bekerja dan memperolehi pendapatan sendiri tanpa hanya bergantung belas ihsan pihak – pihak tertentu dan mengemis hanyalah jalan terakhir buat mereka.
Tok canang... Berikan sebilah kapak agar mereka dapat menapak dengan sendiri kelak!

0 comments: