? ??????????????????? ????Easy Install Instructions:???1. Copy the Code??2. Log in to your Blogger account
and go to "Manage Layout" from the Blogger Dashboard??3. Click on the "Edit HTML" tab.??4. Delete the code already in the "Edit Template" box and paste the new code in.??5. Click "Save Template" CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS ?

Wednesday, March 26, 2008

Perbankan Islam - Kari Ayam

Sidang pembaca yang dikasihi sekalian, sekali lagi kita bertemu di arena penulisan ini. Moga semuanya dalam kaedaan baik-baik belaka. Pada kali ini, InsyaAllah tulisan saya akan berkisar tentang persoalan pertama yang dikemukakan dalam artikel saya yang pertama. Sekiranya, saudara pembaca sekalian masih ingat, ia berhubung dengan persoalan yang telah ditimbulkan oleh seorang rakan bukan Islam yang juga berupa kiasan sinisnya terhadap sistem perbankan Islam yang wujud pada hari ini.
Perbandingan ‘kari ayam’ yang tersebut adalah sebenarnya bersifat prejudis dan dibuat oleh seseorang yang bukan ahlinya (bukan Islam) serta dilakukan bukan berasaskan kepada fakta dan pemahaman yang sebenar secara mendalam terhadap subjeknya. Bentuk perbandingan seperti ini jelas tidak adil sifatnya. Apatah lagi kalau dilihat dari segi faktor masa sekalipun. Konvesional bank sudah wujud hampir 300 tahun yang lalu, sedangkan sejarah perbankan Islam di Malaysia baru mencecah usia 30 tahun. Lebih buruk lagi akan menyebabkan salah faham dan syak wasangka yang berpanjangan di dalam masyarakat. Sebarang salah faham dan syak wasangka terutamanya terhadap Islam dan juga hal-hal yang berkaitan, sekiranya tidak ditangani dengan bijaksana, ia akan menjejaskan ‘kredibiliti’ jangka panjangnya. Perlu kita sedar dalam keadaan sekarang, penghujahan yang bersifat ‘defensif’ bukan jalan penyelesaiannya. Bahkan akan mengusutkan lagi keadaan terutamanya dalam suasana kewujudan Islam di tengah-tengah sistem yang berakar umbi kepada akal pemikiran manusia semata-mata sejak zaman berzaman lagi.
Dalam konteks perbankan Islam yang kita bincangkan ini, realitinya, kita tidak akan berupaya mengukuhkan kredibilitinya di mata masyarakat umum terutamanya kelompok bukan Islam, hanya tampil dengan pelbagai hujah yang bersifat defensif dengan tujuan untuk mempertahankannya, apabila menerima asakan dalam bentuk perbandingan daripada mereka yang terlibat secara langsung dengan perbankan konvesional. Sebaliknya, apa yang harus kita buat adalah menjadi agen perubah kepada kelemahan yang sedia ada yang dikatakan wujud oleh kelompok tersebut . Ini juga bertepatan dengan saranan Allah S.W.T yang meletakkan bahawa sesuatu perubahan tidak akan berlaku di dalam sesebuah masyarakat sehinggalah ahli-ahli dalam masyarakat tersebut sendiri yang menjadi agen kepada perubahan.
Saudara pembaca, berbalik kepada persoalan ‘kari ayam’ yang telah ditimbulkan sebelum ini. Memang ada logiknya kalau dikatakan kedua-dua mangkuk kari ayam tersebut mempunyai cita rasa yang sama. Malahan juga, memang sukar untuk dibezakan mana satu kari ayam yang asal ayamnya tidak disembelih. Tetapi kalau diamati sedalam-dalamnya, hakikat yang terjadi memang tak sama dan tak akan sama! Ibarat kata orang, “rambut sama hitam, tapi hati lain-lain”. Kenapa saya mengatakan sedemikian?
Sidang pembaca, saya ingin memulakannya begini, dalam apa jua perkara sekalipun dalam kehidupan kita, seseorang manusia akan berusaha untuk menuju ke arah kesempurnaan. Tak kira dia seorang Islam ataupun bukan Islam. Kesempurnaan menjadi agenda dan idaman setiap di kalangan kita, baik yang muda, yang tua, yang berpelajaran, yang kurang berpelajaran. Pendek kata semuanya! Hatta, sekiranya diamati kelompok haiwan pun berkehendakkan kesempurnaan. Buktinya, sesama kelompok mereka pun saling bersaing antara satu sama lain. Lihat sahaja keadaan ikan-ikan di dalam akuirium apabila makanan diletakkan. Mereka seakan-akan bersaing antara satu sama lain demi mendapatkan makanan tersebut. Seolah-olah, masing-masing menginginkan kesemua makanan tersebut. Biar kawan-kawan yang lain tak dapat pun tak pa! Ini jelas menunjukkan keinginan untuk memiliki kesempurnaan.
Jika dilihat dari perspektif konvesional, kesempurnaan hidup dinilai semata-mata berasaskan kepada ‘material & financial values’ (nilai kebendaan & wang ringgit). Ini bermakna, seseorang yang tidak mempunyai tahap nilai kebendaan & wang ringgit pada standard tertentu dianggap masih tidak sempurna hidupnya. Kayu pengukur yang sebegini akan secara tidak langsung mencetuskan ‘desakan diri’ untuk mengecapi kesempurnaan bentuk ini dengan apa cara sekalipun, walau terpaksa ‘menghalalkan cara’.
Islam melihat keinginan seseorang manusia ke arah kesempurnaan sebagai fitrah (sesuatu yang lumrah). Namun ia tidak sesekali ‘menghalalkan cara’ semata-mata ingin memenuhi tuntutan fitrah tersebut. Sidang pembaca sekalian, Islam adalah satu agama yang bukan sifatnya ‘result oriented’ semata-mata. Islam turut mengambil kira apa yang disifatkan sebagai ‘process oriented’. Maknanya, untuk memenuhi tuntutan kesempuranaan sebagaimana yang diinginkan oleh Islam, sesuatu perkara mestilah sempurna dari segi proses dan hasilnya. Kedua-duanya mesti hadir bersama-sama. Tetapi fahaman sebegini, tidak berlaku dalam kerangka kesempurnaan hidup konvesional yang mana lebih mengutamakan hasil akhirnya. Bagi konvesional, kesempurnaan masih boleh dicapai walaupun proses ke arahnya diselaputi dengan pelbagai kepincangan seperti penindasan, kezaliman, penganiyaan dan sebagainya.
Saudara pembaca, pemahaman terhadap apa yang sedikit sebanyak telah saya utarakan di atas, boleh dipanjangkan lagi agar jurang perbezaan antara kedua-dua jenis sistem perbankan ini lebih jelas. Dan, sekaligus merubah dakwaan rakan bukan Islam tersebut. Bukan setakat terhadap sistem perbankan Islam, malahan juga terhadap ‘cita rasa kari ayam’ yang dikatakan tidak ada bezanya itu. Ingin saya menyentuh sedikit tentang hikmah Islam mensyaratkan haiwan disembelih sebelum disajikan. Pembuktian secara ilmiah jelas menunjukkan bahawa haiwan yang disembelih dengan cara yang sempurna (iaitu yang disyaratkan Islam) lebih selamat untuk dimakan berbanding dengan haiwan yang tidak disembelih dengan cara yang sempurna. Ini kerana, cara penyembelihan yang disyaratkan oleh Islam berupaya merembeskan darah yang terkandung dalam tubuh badan haiwan terbabit, yang mungkin mengandungi jangkitan penyakit tertentu. Jelas menunjukkan, seekor ayam yang tidak disembelih membawa maksud tidak sempurna prosesnya. Walaupun ‘hasilnya’ (kari ayam) nampak secara lahiriah sempurna serta tidak ada sebarang perbezaan.
Sidang pembaca, sistem perbankan konvesional yang mendominasi sistem perbankan dunia pada hari ini hanya berasaskan kepada ‘result oriented’ semata-mata, iaitu memaksimumkan keuntungannya dan juga pelanggan tanpa mengambil kira kesempurnaan proses. Bagi bank konvesional, mereka boleh berbuat apa saja asalkan keuntungan dapat diperolehi, selagi mana tidak bercanggah dengan Akta Perbankan & Kewangan 1989 yang ditetapkan oleh kerajaan dan dikawal selia oleh pihak Bank Negara Malaysia (BNM). Dalam aspek ke mana wang penyimpan dilaburkan, bank konvesional tidak mempunyai sebarang sekatan selagi tidak bercanggah dengan undang-undang negara seperti portfolio pelaburan yang disisi Islam jelas haram seperti perjudian, minuman keras, pusat hiburan dan sebagainya. Operasi bank konvesional yang berasaskan riba’ (faedah) memang sesuatu yang tidak perlu dipersoalkan lagi. Hal ini Allah S.W.T dah ‘clear cut’ dalam Al- Qur’an bahawa riba adalah sesuatu yang haram. Logiknya, kira jadi dua kali haram. Satunya, wang yang kita simpan dilaburkan ke tempat-tempat yang diharamkan oleh Islam. Duanya, kita terima pula faedah dengan cara ‘riba’ daripada simpanan yang kita buat. Bukan dua kali haram, tak gitu?
Mungkin ada yang akan bertanya? Apa masalahnya sekiranya pelaburan dibuat dalam perjudian, minum keras, hiburan dan sebagainya? Bahkan, realitinya bidang-bidang pelaburan sebegini yang lebih menguntungkan. Lihat saja nilai saham-saham seperti Resorts, Genting, Magnum dan sebagainya di pasaran modal negara (Bursa Malaysia)! Pengharaman Allah S.W.T terhadap sesuatu perkara mesti berasaskan kepada sesuatu hikmah (kebaikan). Mungkin pada persepsi pertama kita cuba untuk menindakkannya atas alasan ianya juga terdapat kebaikan. Tapi pernahkah kita terfikir? Antara kebaikan yang sedikit berbanding kemudaratan yang banyak, mana satu yang akan menjadi pilihan kita? Sudah tentu kita akan memilih untuk tidak melakukan sesuatu yang besat mudaratnya. Begitu juga dengan hikmah Allah S.W.T meletakkan batasan tertentu kepada pihak bank untuk menjalankan pelaburan mereka adalah kerana bidang-bidang seperti perjudian, minum keras dan hiburan kerana ia akan memberi kesan yang tidak baik kepada individu dan masyarakat secara keseluruhannya yang mungkin lahir dalam pelbagai bentuk masalah seperti peras ugut, rompak, rogol, bunuh dan sebagainya. Sekiranya situasi seperti ini berlaku, fitrah manusia yang inginkan kesempurnaan hidup akan terganggu. Alternatifnya, wujud sistem perbankan Islam yang mengabung jalin antara ‘process oriented’ dengan ‘result oriented’ sebagai penyelesaian kepada sistem perbankan konvesional yang sebenarnya banyak menyumbang kepada ketidaksempurnaan hidup individu sebagaimana yang dikehendaki fitrahnya dengan terlibat dengan riba dan pencarian untung secara tidak sah di sisi Islam. Moga bertemu lagi dalam siri yang akan datang. Wassalam.

0 comments: